|
Bagaimana
rupanya berdiri lurus?
Berdiri lurus adalah pendirian sembahayang. Di mana antara tapak kaki kanan
dengan yang kiri tidak terlalu renggang dan tidak terlalu rapat.
Pendirian yang sedemikianlah juga digunakan oleh Silat Cekak di dalam
mempertahankan diri dari serangan. Dengan pendirian lurus tegak inilah maka
ramai orang yang mengatakan di situlah kelemahan Silat Cekak. Tetapi jika
dikajikan dengan mendalam maka sebenarnya di situlah punca kekuatan Silat Cekak.
Pendirian lurus membawa beberapa pengertian dan kegunaan secara lahir mahupun
secara falsafah.
Kuat. Banyak yang masih mempersoalkan bahawa berdiri lurus adalah berdiri
yang lemah, berdiri yang kuat adalah berdiri cara kuda-kuda. Sebenarnya, berdiri
kuda-kuda ini adalah pendirian yang bengkok. Adakah sesuatu yang bengkok itu
kuat dari yang lurus? Kalau misalnya kita pergi ke hutan untuk mencari kayu,
maka sangatlah sukar kita mencari kayu-kayuan yang lurus, tetapi yang bengkuk
amatlah mudah. Tetapi kayu yang lurus itu boleh dibuat bermacam-macam - tiang
rumah, meja, kerusi, dan berbagai lagi. Tetapi kayu bengkok cuma sesuai dibuat
kayu api sahaja. Di sini jelas bahawa sesuatu yang lurus banyak kegunaannya dari
yang bengkok. Begitu juga halnya dengan pendirian yang lurus. Kerana berdiri
lurus adalah penengah dari segala pergerakkan ke kiri dan ke kanan serta
pergerakkan ke belakang. Oleh sebab itulah pendirian lurus digunakan di dalam
Silat Cekak, kerana dengan pendirian tersebut Silat Cekak telah bersedia untuk
menunggu serangan dari hadapan, kiri atau kanan mahupun dari belakang.
Tak Mahu Gaduh. Berdiri lurus juga adalah berdiri yang normal bagi
manusia. Manusia jika bercakap tatkala berdiri adalah di atas pendirian yang
lurus (normal) bukannya di atas pendirian yang bengkok (pendirian dipaksa-paksa).
Jadi kalau belajar Silat dengan pendirian lurus maka pengamalnya dapat bersedia
sepanjang waktu tidak diketahui oleh orang. Sebaliknya, jika sedang menghadapi
musuh, musuh tidak tahu tipu-helah kita, kerana dilihatnya pendirian kita
seperti pendirian orang yang tidak mahu bergaduh. Jika sekiranya kita
menggunakan pendirian kuda-kuda musuh akan dapat mengetahui akan tipu-helah kita,
mereka dapat membaca mana tangan atau kaki yang mati dan yang mana yang hidup.
Rapat. Pendirian Lurus ini adalah pendirian yang paling rapat. Dalam
Silat Cekak pendirian yang sedemikian sudah cukup untuk mengawal seluruh anggota.
Iaitu ia telah ada empat kaedah yang sentiasa tersedia untuk mempertahankan diri,
iaitu kaedah-kadeah A, B, C, dan D yang cukup untuk mengawal empat kerat anggota
manusia. Sebagaimana pendirian lurus diambil dari gerak geri sembahayang, kaedah
A, B, C, dan D juga diambil dari perbuatan sembahayang juga - kaedah A dari
Do`a, B dari
Qiam, C dari
Ruku', dan D dari
Takbir.
Kajian. Hujjah diatas adalah sesuatu yang dapat dibincang secara akademik.
Kajian-kajian telah dibuat oleh kita tentang buruk dan baik segala macam
pendirian dalam usaha-usaha untuk mempertahankan diri. Dengan keyakinan yang
penuh, kami menerima hakikat pendirian lurus adalah pendirian ideal bagi
mempertahankan diri. Pendirian jenis ini adalah pendirian yang penuh makna
disebalik kegunaannya dalam usah-usaha mempertahankan diri.
|