|
Menyingkap
kembali sejarah penglibatan wanita dalam Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Al
Marhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad telah membuka semula keahlian kepada
kaum wanita pada tahun 1981. Keahlian pada tahun 1981 telah dibuka di tiga
tempat iaitu, Kelas Ibu Pejabat di Jalan Raja Muda, Kelas 'A' wanita di
Universiti Sains Malaysia dan di Institut Teknologi MARA, Shah Alam (UiTM).
Maka dengan ini bermulalah peranan ahli wanita di dalam Persatuan Seni Silat
Cekak Malaysia (PSSCM). Sebagai seorang Islam, kaum hawa juga dituntut untuk
menjaga diri. Maksud menjaga diri secara umum melibatkan menjaga maruah,
kehormatan diri, dan dalam konteks sosio-budaya termasuklah menjaga norma-norma
terdapat dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam. Dalam usaha menjaga diri,
menuntut ilmu seni bela diri menjadi salah satu cara yang sepatutnya diamalkan
oleh semua wanita.
Pada penganalisisan saya Seni Silat Cekak merupakan satu seni bela diri yang
amat sesuai untuk dipelajari dan diamalkan oleh semua wanita. Wanita pada
umumnya disifatkan sebagai kaum yang kurang kekuatan fizikal berbanding kaum
lelaki, maka seni bela diri yang tidak memerlukan kekuatan tenaga amatlah sesuai
dengan keadaan fisiologi kaum hawa. Maka tidak hairanlah pada masa kini ramai
wanita khususnya di institut pengajian tinggi telah mempelajari ilmu ini.
2.0 Peranan Wanita Dalam Silat Cekak
Peranan pertama wanita dalam Seni Silat Cekak adalah untuk belajar sehingga
tamat. Tamat yang dimasukkan di sini, sehingga mendapat sijil rendah, bukan
sekadar sehingga selesai peringkat umumnya. Apabila seorang wanita telah
menghadapi ujian sijil rendah, sekurang-kurangnya wanita ini akan mendapat
pengalaman untuk mengamalkan buah-buah mata pelajaran yang telah mereka perolehi.
Sebagai orang yang telah mempelajari sesuatu ilmu yang baik dan sesuai dengan
kelembutan wanita, seharusnyalah wanita cekak menghebahkan ilmu seni bela diri
ini kepada orang awam khasnya di kalangan kaum wanita. Caranya adalah dengan
mengajak kaum keluarga, sahabat handai dan rakan taulan untuk mempelajari satu
ilmu seni bela diri yang benar-benar Asli dari Tanah Melayu.
Peranan wanita yang seterusnya adalah untuk mengamalkan ilmu ini selagi hayat
dikandung badan. Pengalaman telah menunjukkan Seni Silat Cekak bukan sahaja
mengajar wanita seni bela diri, bahkan berjaya membentuk sahsiah yang cemerlang.
Tiga pantang larang pertama Seni Silat Cekak telah berjaya membentuk insan yang
tahu menghormati guru, ibu dan bapa.
Pantang larang seterusnya tidak mencaci Seni Silat Melayu yang lain secara tidak
langsung jika dihayati sepenuhnya oleh kaum wanita, akan mengurangkan sifat
wanita yang suka bercerita hal orang atau lebih tepat mengumpat. Mengumpat juga
tergolong dalam mencaci orang. Pantang larang yang kelima membentuk wanita ke
arah bersatu dalam kegiatan PSSCM kerana semua ahli PSSCM dilarang daripada
bergaduh sesama sendiri.
Secara langsung penglibatan wanita dalam Seni Silat Cekak Malaysia telah berjaya
membentuk wanita untuk cekal hati, beriltizam dan berketerampilan. Wanita yang
benar-benar mengamalkan segala pantang larang serta ilmu yang diperoleh dari
Seni Silat Cekak akan menjadi orang yang amanah, berani menghadapi segala
rintangan dan dugaan. Kebatinan Seni Silat Cekak telah berjaya membentuk kaum
hawa yang berpegang kepada akidah Islam yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad
S.A.W. Walaupun pada umumnya, kaum wanita dikaitkan dengan sifat pemalu, Seni
Silat Cekak dapat mengikis sifat penakut dan pemalu yang tidak bertempat.
Didikan dari Seni Silat Cekak menjadi wanita berani dan hanya takut kepada ALLAH
swt.
Penglibatan dan amalan Seni Silat Cekak adalah satu ibadah kerana setiap
gerak-geri, perbuatan, amalan, pemikiran adalah berlandaskan ajaran agama Islam.
Permulaan pembelajaran dengan ijazah pertama secara langsung berserta niat telah
menjadikan segala usaha untuk mempelajari Seni Silat Cekak sebagai satu ibadah
yang berterusan.
3.0 Peranan Wanita Dalam Silat Cekak Sebagai Isteri
Sebelum seorang wanita itu bergelar isteri, agenda yang penting ialah pemilihan
pasangan yang sesuai ataupun sekufu. Sekufu mempunyai maksud yang luas. Sabda
Rasulullah S.A.W. "Wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana harta
bendanya; bangsanya (kemuliaan keturunannya); kecantikannya dan agamanya. Tetapi
utamakanlah wanita yang kuat pegang pada agama, nescaya beruntung" riwayat
Bukhari (Al Islam: 26, 2002).
Sekufu dari segi bahasa memberi maksud persamaan dari segi kebebasan (merdeka),
keturunan, keagamaan, selamat daripada sebarang kecacatan dan keburukan seperti
gila, sopak, lemah batin dan sebagainya (Al Islam: 2002). Sekufu diertikan lagi
sebagai selamat dari fasiq. Dalam surah Annur ayat 26, ALLAH SWT telah berfirman,
"wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan wanita-wanita
yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk
wanita-wanita yang baik".
Menurut Ustaz Kori (2002), apabila kita berpegang kepada suruhan Rasulullah SAW,
iaitu pilihlah yang ada pegangan agama, secara langsung mereka akan tahu akan
tanggung jawabnya dengan ALLAH dan larangan-larangan dalam kehidupan berumah
tangga. Maka di sini, wanita juga perlu membuat pemilihan pasangan hidup
masing-masing berpandukan kepada suruhan Rasulullah SAW.
Apakah pula peranan wanita dalam Silat Cekak sebagai isteri? Buah pelajaran Seni
Silat Cekak adalah berasaskan pergerakan solat. Maka sebagai Isteri, wanita
cekak juga perlu berpegang kepada landasan ajaran Islam.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Dunia ini adalah perhiasan, dan
sebaik-baik perhiasan adalah isteri yang solehah", riwayat Muslim (Faiznur: 14,
2001). Menurut Faiznur, isteri yang solehah dapat mententeramkan suami. Maka
sebagai seorang isteri, wanita cekak seharusnya dapat mewujudkan kedamaian dan
ketenteraman pada suami masing-masing. Dalam hal ini bak kata pepatah, seorang
isteri "hendaklah mengukur baju di badan sendiri", dan bersederhana dalam
kehidupan.
Peranan isteri antara lain adalah memahami tugas suami. Dalam hal ini sebagai
pasangan suami isteri yang bergiat dalam PSSCM, isteri seharusnya dapat menolong
suami dengan memberikan dorongan untuk terus bergiat aktif sama ada secara
langsung seperti menjadi tenaga pengajar yang bertanggungjawab, atau terlibat
dengan demonstrasi yang memerlukan pengorbanan masa dan wang ringgit, atau terus
memberi sokongan moral dalam aktiviti berpersatuan lain. PSSCM telah berjaya
melatih semua ahli yang patuh untuk bersatu, maka dengan sokongan isteri
ahli-ahli khasnya para suami akan dapat berpersatuan dengan aktif dan tanpa
sekatan dari sangkaan negatif. Sifat cemburu merupakan satu naluri yang ada pada
semua manusia yang normal, namun cemburu yang keterlaluan hanya akan
memudaratkan diri dan hubungan suami isteri.
Untuk wanita cekak yang bergelar isteri terus aktif dalam PSSCM, sokongan mantap
daripada para suami amat diperlukan. Agama Islam telah menggariskan, para isteri
perlukan keizinan suami hatta untuk keluar ke rumah ibu bapa sendiripun. Maka
saranan saya kepada para suami, Insya Allah dengan sokongan dan izin daripada
suami, isteri dapat terus melibatkan diri dalam PSSCM walaupun setelah bergelar
ibu.
Peranan isteri juga termasuk melaksanakan tanggungjawab di rumah. Sebagai wanita
dalam cekak, para isteri seperti isteri-isteri lain harus tahu mengurus masa dan
rumah tangga. Pengorbanan dan kerjasama daripada para suami tidak boleh
dipandang remeh, dalam hal ini sikap tolong-menolong dan saling bantu-membantu
antara suami dan isteri akan membuahkan kejayaan kepada sebuah rumah tangga
mahupun kejayaan untuk terus aktif dengan PSSCM. Tuntutan tanggungjawab sebagai
seorang isteri akan bertambah berat apabila wanita berperanan sebagai ibu dan
sebagai wanita yang berkerjaya.
Dalam masyarakat Melayu lagi Islam, ikatan perkahwinan adalah jambatan yang
menyambungkan dua keluarga. Maka wanita cekak juga tidak terlepas dari ikatan
kekeluargaan ini. Sebagai isteri, wanita cekak perlu menerima keluarga suami
sebagai keluarga sendiri walaupun terdapat perbezaan nilai ataupun pendapat.
Jurang perbezaan ini perlu diketepikan. Pada pendapat saya sebagai ahli PSSCM,
wanita cekak beruntung kerana kita memperolehi satu lagi keluarga tambahan iaitu
keluarga dari kalangan warga Cekak. Persahabatan yang terjalin dalam Seni Silat
Cekak tidak dibatasi oleh kedudukan dalam masyarakat, harta benda mahupun
prestasi akademik. PSSCM telah berjaya merapatkan jurang prestij dan kebendaan.
Bagi wanita cekak yang pasangan mereka bukan dari kalangan ahli, peranan mereka
adalah untuk memujuk para suami untuk mempelajari Seni Silat Cekak. Dalam hal
ini, wanita seharusnya pandai menggunakan strategi pujuk rayu untuk melembutkan
hati para suami untuk menjadi warga Cekak. Rintangan yang dihadapi oleh wanita
ini adalah untuk memecah benteng perbezaan fahaman Seni Bela Diri. Wanita yang
bijak dengan izin ALLAH nescaya dapat menghadapi situasi ini dengan jayanya.
Seni Silat Cekak telah berjaya mengasuh semua ahlinya untuk mengetepikan
pandangan rupa paras dan kebendaan, sebaliknya menilai keikhlasan dan keluhuran
hati budi. Semua ahli silat cekak duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
walaupun mereka berjawatan, tetapi fahaman yang ditanamkan jawatan yang dibawa
adalah tanggungjawab yang diamanahkan oleh Yang Mulia Guru Utama dan akan
dinilai pada hari kemudiannya.
Kesimpulan, wanita cekak sebagai isteri, adalah sebagai rakan yang paling akrab
kepada suami dan menjadi pendorong serta penyokong utama untuk para suami
teruskan perjuangan dalam PSSCM.
4.0 Peranan Wanita Dalam Silat Cekak Sebagai Ibu
Sudah menjadi fitrah bagi kaum wanita yang bergelar isteri akan ada keinginan
untuk menimang anak sendiri. Maka apabila lahir zuriat daripada rahim dengan
langsung wanita akan bergelar dan berperanan sebagai ibu.
Agama Islam telah meletakkan kedudukan ibu pada satu taraf yang amat dimuliakan,
sehingga wujud pepatah "Syurga itu di tapak kaki ibu". Setiap anak yang kita
lahir itu kita telah menaruh harapan yang tinggi untuk kejayaan hidup di dunia
dan akhirat.
"Lahirnya wanita akan melahirkan lebih ramai lelaki hebat", adalah kata-kata
pujangga kerana wanita adalah pemelihara atau pendidik kepada anak-anak yang
bakal menerajui dunia. Apakah peranan wanita cekak sebagai seorang ibu? Secara
amnya ibu berfungsi sebagai pendidik yang akan membentuk watak dan peribadi
anak-anak yang bersih ibarat kain putih. "Setiap anak yang dilahirkan dalam
keadaan fitrah iaitu bersih. Kedua ibu bapalah yang membuatnya Yahudi, Nasrani
atau Majusi", riwayat al-Bukhari (Mohd. Shukri, 2001). Peranan mendidik anak
adalah tanggungjawab bersama ibu dan bapa.
Menurut keterangan surah Al-Baqarah (ayat 228: ms. 49), "Hak isteri sama dengan
hak suami, begitu pula kewajipan masing-masing. Ketua itu terpegang di tangan
suami, kerana ia dapat menjalankan apa-apa yang ditetapkan, sebab ia mempunyai
wang dan kekuatan".
Kitab suci Al-Quran, telah memberi panduan kepada kita semua cara untuk mendidik
anak melalui surah Luqman. Maka sebagai ibu peranan pertama ibu ialah menyusukan
anak dengan susuan kita. Susuan ibu akan membentuk satu pertalian yang mana
dengan izin Allah akan memudahkan kita membentuk anak-anak yang mendengar kata
atau mudah dibentuk peribadi.
Peranan kita seterusnya ialah memberi pendidikan secara berhikmah. Didikan dari
seorang ibu bermula semasa anak berada pada peringkat janin lagi.
Kajian pakar perubatan barat telah mengakui, bayi dapat dididik sejak dalam
rahim. Maka sebagai ibu, pilihlah perkara-perkara yang baik untuk diperdengarkan
kepada bayi, seperti membaca surah Luqman untuk membentuk anak yang bijak.
Peranan Ibu seterusnya menyediakan makanan dan minuman anak-anak. Kita mestilah
berwaspada akan kesucian sajian yang diberikan kepada mereka.
Pada hari ini, banyak makanan segera yang terdapat dalam pasaran untuk kemudahan
para ibu. Namun sebagai wanita cekak lagi ibu yang beragama Islam, kita perlu
meneliti kandungan yang terdapat dalam makanan tersebut.
Pada pandangan saya perkara ini biasanya dipandang remeh-temeh oleh kebanyakan
ibu-ibu. Tetapi hal ini perlu dititikberatkan kerana setiap makanan yang diberi
kepada anak-anak akan menjadi darah daging yang membesar anak-anak tersebut.
Menurut al marhum Ustaz Hj. Hanafi bin Hj. Ahmad, makanan yang haram akan
membentuk "anak haram". Haram di sini mempunyai banyak pengertian, antaranya
sumber pendapatan yang haram seperti berjudi dan mencuri; mengandungi
bahan-bahan yang haram atau tidak halal seperti lemak dan minyak khinzir dan
alkohol. Dalam konteks ini, peranan bapa yang mencari nafkah perlu memastikan
sumber pendapatan adalah bersih dan suci menurut pandangan Islam, ini
termasuklah membuat pekerjaan dengan ikhlas dan penuh amanah. Pendapatan bapa
akan menjadi rezeki yang diberikan kepada isteri untuk menyediakan makan, minum
dan pakaian anak-anak. Bagi para ibu pula memastikan makan minum anak-anak bebas
dari unsur-unsur yang haram.
Maka ibu di sini perlu mencari ilmu yang bersesuaian dalam menguruskan anak-anak.
Ilmu di sini tidak terbatas kepada ilmu akademik, bahkan termasuk hal-hal akidah,
tauhid, fardu ain dan fikah yang perlu kita asuhkan kepada anak-anak. Kalau kita
tidak mempunyai ilmu yang mendalam, maka tanggungjawab kita memastikan anak-anak
mendapat ilmu tersebut daripada guru-guru agama. Kita semua akan disoal akan
tanggungjawab yang kita tunaikan sebagai ibu atau bapa di akhirat nanti.
Sebagai ibu, wanita cekak juga perlu berperanan sebagai sahabat karib kepada
anak-anak. Hubungan yang baik antara ibu dan anak akan membolehkan kita
mengawasi gerak-geri anak-anak. Pada masa ini, terdapat banyak dugaan dan
cabaran bagi anak-anak yang sedang dalam peringkat remaja. Ibu yang dapat
mendengar keluhan anak-anak, secara tidak langsung dapat memberi bimbingan, bagi
dari segi pergaulan anak-anak, tutur kata, adab sopan mahupun bidang akademik
yang bakal mereka pilih. Peranan ibu juga adalah untuk menyedarkan anak-anak
bahawa kejayaan itu tidak hanya terletak kepada kejayaan dalam bidang akademik
sahaja, malah yang lebih penting kejayaan yang sebenar ialah "apabila anak-anak
dapat mendirikan sembahyang, membuat yang makruf dan meninggalkan segala yang
mungkar" (Surah Luqman: 17).
Peranan wanita cekak sebagai ibu, juga melibatkan kesinambungan perjuangan PSSCM
kepada dan menerusi anak-anak kita. Kata pepatah "Tidak kenal maka tidak cinta".
Maka sebagai ibu, kita seharusnya mendedahkan anak-anak kita kepada aktiviti
PSSCM. Tanamkan semangat cintakan seni bela diri Melayu khasnya Seni Silat Cekak
Malaysia. Beri penerangan secara langsung atau tidak langsung mengenai perbezaan
Seni Silat Cekak dan Seni Bela Diri Melayu yang lain. Pengalaman telah
menunjukkan terdapat keluarga ahli-ahli yang berjaya mendidik anak mereka
sehingga berjaya menjadikan semua anggota keluarga dari ibu dan bapa, anak
menantu hingga ke cucu sebagai ahli yang memahami erti perjuangan PSSCM. Pada
pandangan lahirah saya, keluarga-keluarga tersebut telah melibatkan anak-anak
mereka dengan semua aktiviti PSSCM sejak mereka itu anak kecil lagi. Maka seruan
saya kepada Wanita cekak, jangan asingkan anak-anak kita dalam aktiviti PSSCM,
kerana mereka adalah pewaris yang akan meneruskan perjuangan PSSCM.
Pengalaman telah mengajar, penglibatan keluarga dalam aktiviti PSSCM semakin
merapatkan hubungan kekeluargaan disebabkan keseragaman dalam aktivti serta
perjuangan.
Kesimpulannya, wanita cekak sebagai seorang ibu, perlulah mempunyai banyak
pengetahuan dalam pelbagai bidang untuk membolehkan kita berupaya membimbing
anak-anak dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk dalam meneruskan perjuangan
PSSCM.
5.0 Peranan Wanita Dalam Silat Cekak Sebagai Ahli Akademik.
Firman Allah swt. "Bacalah (ya Muhammad) dengan nama Tuhan yang
menciptakan;Telah mencipta manusia daripada segumpal darah; Bacalah dan Tuhanmu
amat pemurah; yang mengajarkan (menulis) dengan pena; Yang mengajarkan kepada
manusia apa-apa yang tiada diketahuinya." (Al-Alaq:1-5). Maka menurut keterangan
ayat ini telah menganjurkan kepada kita semua baik lelaki mahupun wanita untuk
membaca dan menulis. Berasaskan ayat tersebut semua manusia, putera atau puteri,
lelaki dan wanita dituntut oleh Allah swt. untuk mencari ilmu, melalui pembacaan
dan penulisan.
Apakah yang dimaksudkan sebagai akademik? Kamus Dewan mentakrifkan akademik
sebagai mengenai atau berkaitan dengan akademi (pusat pengajian tinggi);
bersifat atau mengandungi ilmu pengetahuan.
Pada pandangan saya, akademik bukan saya melibatkan pusat pengajian tinggi
seperti fahaman sekular, tetapi turut melibatkan apa-apa institusi yang
menyebarkan ilmu pengetahuan untuk pembangunan insan. Maka ahli akademik di sini
termasuklah para guru, para ulama yang menyampaikan ilmu agama dan juga
pensyarah-pensyarah dalam pelbagai bidang.
Apakah peranan wanita dalam Cekak sebagai ahli akademik? Ahli akademik sentiasa
terlibat dengan penuntut, maka terdapat satu hubungan guru-pelajar. Sebagaimana
para akademik lelaki, ahli akademik wanita juga mempunyai tanggungjawab dan
peranan yang sama berat. Ahli akademik bukan sahaja sekadar menyampaikan ilmu
secara sehala, bahkan lebih penting ialah pembukaan minda pelajar. Sebagai
wanita cekak dan juga ahli akademik, kita berperanan membentuk kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif.
Bagaimanakah kemahiran berfikir secara kritis dapat dibentuk? Dalam konteks Seni
Silat Cekak, sebagai tenaga pengajar yang juga ahli akademik, apabila tiba ke
peringkat buah jatuh dan seterusnya, kita seharusnya menggalakkan penuntut untuk
berfikir cara-cara untuk membuat buah mata pelajaran yang bakal kita ajarkan.
Jawapan yang betul atau salah bukan menjadi matlamat utama, yang penting ialah
memberi peluang untuk mereka berfikir cara buah pelajaran dapat dilakukan.
Kemahiran berfikir kritis melibatkan pelajar mengaplikasi, menganalisis, menilai
dan membuat kesimpulan. Peranan ahli akademik ialah menggalakkan dan menekankan
keupayaan untuk berfikir, baik yang tersurat dan tersirat, baik yang nampak
mahupun yang seni. Namun begitu, setiap hasil buah pemikiran itu perlu ada
rujukan atau dirujuk kepada yang ahli/pakar bagi mengelakkan tersalah tafsiran
mahupun tanggapan yang akan mengakibatkan pertelagahan sesama ahli.
Peranan wanita cekak sebagai ahli akademik, hendaklah "menghayati seni silat,
memberi nasihat dalam proses pemilihan jenis Silat". (Hj. Hanafi Hj. Ahmad,
1985); serta memberi sokongan dan galakkan kepada para penuntut untuk mengkaji
Seni Silat Cekak secara ilmiah.
Wanita cekak sama ada ahli akademik ataupun tidak, perlu memupuk minat membaca
dan menulis. Bacaan yang dibuat perlu diteliti bagi memastikan kita tidak
tersalah tafsir, maka lebih baik bacaan yang dibuat dirujuk semula kepada pakar
dalam sesuatu bidang, dalam hal ini rujuk kepada guru semula.
Peranan wanita cekak sebagai ahli akademik bukan sahaja sekadar pensyarah dengan
penuntut, atau guru dengan murid. Terdapat jalinan persaudaraan keahlian dan
ikatan sesama Islam. Dalam hal ini, pada diri saya, setiap penuntut adalah
seperti anak yang kita curahkan dengan harapan mereka berjaya. Sebagai ahli
akademik peranan tidak terbatas kepada penyampai ilmu bahkan sebagai ibu kepada
anak-anak, kakak kepada adik-adik. Wanita cekak yang juga ahli akademik adalah
sebagai suatu contoh kepada wanita cekak lain dan juga anggota masyarakat secara
amnya.
Kesimpulan, wanita cekak mempunyai pelbagai peranan serta tanggungjawab yang
harus dipikul. Untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada
kita oleh ALLAH swt., kita perlu menerima dan menganggap setiap perkara yang
kita lakukan itu sebagai ibadah semata-mata. Kita perlu mengetepikan persoalan
"material gain" bagi setiap sumbangan yang kita beri sama ada dari aspek
kewangan ataupun tenaga.
Patah kata ahli Hikam, "Yang dapat itu, tidak dapat ! Yang tidak dapat itulah
yang dapat". Maka dengan kata-kata ini marilah sama-sama kita renungkan
penglibatan kita semua sebagai ahli PSSCM. Pepatah Cina "Tanam buah, bukan
mestinya kita makan buah tersebut, tetapi tanam buah hasilnya nanti untuk anak
cucu kita". Tanyalah kepada diri kita, apakah yang dapat kita sumbangan kepada
persatuan, bukan apa yang dapat persatuan sumbangkan kepada kita. Insya Allah
setiap perbuatan disertakan dengan niat yang baik akan membuahkan kejayaan.
6.0 Rujukan
a. Abdul Rashid Mahmud, Sept 2002. Peranan ibu dan bapa di dalam pembinaan
sahsiah anak-anak. Sinar Rohani. JAKIM
April 2002. Kasih sayang ada batasnya. Al Islam. Bil 340. K.L
b. Faiznur Zainudin. Sept 2001. Isteri yang mententeramkan suami. Sinar Rohani.
JAKIM
c. Hj Hanafi Hj Ahmad. 1985. Peranan Ulama Dalam Dunia Persilatan. Budaya Cekak
1993. PSSCM.
d. H. Mahmud Yunus (Prof. Dr) , 1983. Tafsir Quran Karim. Edisi ke 10. Jakarta.
Jun 2002. Adakah pasangan anda sekufu? Al Islam. Bil 342. K.L
Mei 2002. Wanita lahirkan ramai lelaki hebat. Muslimah. Bil. 184. K.L
e. Mohd. Shukri Hj. Hanapi. Okt-Dis 2001. Masyarakat dan pendidikan penentu
kejayaan sistem pendidikan Islam. Visi.
f. Shaik Mohd Saifuddeen, Okt-Dis 2001. Kerja sebagai Ibadah. Visi
|